Monday, October 29, 2012

Tujuh Yang Terbaik Dalam 007


Filem ke-23 James Bond, "Skyfall" bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi iaitu 1 November 2012. Memandangkan ia akan ditayangkan pada waktu yang sama dengan ulangtahun ke-50 hero risikan 007 karya novelis Ian Fleming ini, kami senaraikan tujuh yang terbaik seperti yang telah dipilih oleh para peminat James Bond.

FILEM TERBAIK JAMES BOND: "Goldfinger" (1964)

"Goldfinger" merupakan filem ketiga daripada francais Bond yang ditayangkan pada tahun 1964 dan tiada siapa menyangkal kenyataan bahawa ia yang terbaik di antara semua filem-filem Bond.

Filem arahan Guy Hamilton ini masih menampilkan Sean Connery sebagai James Bond dan turut dibintangi Gert Frobe sebagai Goldfinger, Harold Sakata sebagai Oddjob, Shirley Eaton sebagai Jill Masterson dan Honor Blackman sebagai Pussy Galore.

Selain itu "Goldfinger" juga merupakan filem pertama yang menampilkan kereta legenda Aston Marton DB5 yang sinonim dengan Bond dan juga makmal Q di mana semua siri penyelidikan dan pembangunan gajet Bond ditempatkan.

Ia juga memiliki permulaan yang menakjubkan di mana Bond berenang ke dalam air dan meletakkan bahan letupan ke dalam tong, muncul di permukaan, tanggalkan baju renangnya dan penonton dapat melihat tuksedo putih yang dipakai di dalamnya.

Jangan lupa pula ikon paling diingati filem ini – Jill Masterson yang disaluti emas!

PELAKON TERBAIK JAMES BOND: Sean Connery

Tidak ada apa yang perlu dipertikaikan. Sean Connery adalah James Bond dan James Bond adalah Sean Connery.

Tidak kira sehebat mana pun bintang lain melakonkan watak ejen MI6 ini, yang nyata, nama pertama yang hampir semua orang akan sebut bila ditanya siapakah pelakon James Bond, adalah Sean Connery.

Sean Connery terlalu cemerlang dalam personanya sebagai Bond sehinggakan sukar bagi enam pelakon Bond yang seterusnya untuk menyahkan ingatan orang lain dengan interpretasi mereka.

Bermula dengan "Dr. No" pada tahun 1962, Connery memiliki ciri-ciri yang sangat sesuai dengan Bond – licik, tiada belas kasihan, lucu dan tampak bergaya dalam tuksedo sehingga menyebabkan Connery ditawarkan peranan ini sebanyak enam kali.

ANTAGONIS TERBAIK JAMES BOND: Ernst Stavro Blofeld

Ernst Stavro Blofeld sebagaimana yang dilakonkan Donald Pleasance dalam filem 007, "You Only Live Twice" merupakan antagonis Bond yang paling disukai.

Kehebatan dan karisma watak antagonis yang memiliki parut di mata ciptaan Ian Fleming ini menjadi pilihan ramai sehinggakan ia muncul dalam tujuh filem Bond.

Sebelum Marlon Brando mempopularkan seni pop dengan imej Don Corleone mengusap kucingnya, Blofeld merupakan antagonis pertama yang kelihatan bersama kucing kesayangannya.

Ian Fleming membayangkan karakter Blofeld sebagai seorang shape-shifter, menjadikannya satu daripada antagonis Bond yang paling misteri,

GAJET TERBAIK JAMES BOND: Jet Pack Bell Textron

Kami juga terkejut apabila ramai yang memilih jet pack Bell Textron dari filem "Thunderball" (1965) sebagai gajet terbaik Bond. Mungkin kerana tidak seperti kebanyakan gajet Bond lain yang berkemungkinan dijadikan satu realiti pada era moden ini, sampai sekarang masih banyak halangan untuk menjadikan jet pack sebagai mod pengangkutan yang berfungsi (seperti yang dimiliki Bond) satu kenyataan.

GADIS BOND TERBAIK: Honey Ryder

Cinta pertama merupakan cinta yang tidak akan dilupakan. Begitu juga dengan gadis Bond yang pertama, Honey Ryder lakonan Ursula Andress dalam "Dr. No" (1962).

Sudah tentu, apabila anda menyebut tentang gadis Bond, imej pertama yang bermain di fikiran anda adalah si kulit perang Honey Ryder yang muncul dari laut dengan bikini putih yang bertali pinggang. Imej yang cukup kuat sehinggakan gaya itu cuba dihasilkan semula oleh Halle Berry dalam "Die Another Day" (2002).

Bintang Swiss, Ursula Andress turut memenangi Anugerah Golden Globe untuk lakonannya. Siapa lagi pelakon yang pernah memenangi Golden Globe untuk peranan mereka sebagai gadis Bond?

KERETA JAMES BOND TERBAIK: Aston Martin DB5

Sekalipun Aston Martin DBS V12 Daniel Craig dalam "Casino Royale" (2006) hampir menewaskannya, namun Aston Martin DB5 klasik yang pertama kali diperkenalkan dalam "Goldfinger" (1964) menjadi pilihan ramai.

Siri DB mendapat namanya daripada David Brown (bos Aston Martin tahun 1947 – 1972).

Sekalipun pencipta James Bond, Ian Fleming memilih DB Mark III sebagai kereta pilihan Bond dalam novelnya, filem "Goldfinger" memilih DB5 kerana ia merupakan model baru ketika filem itu dibuat.

Namun begitu, Aston Martin milik Bond lebih daripada sebuah kereta biasa. Ia memiliki aksesori tambahan seorang ejen rahsia seperti mesingan, kerusi lenting, dispenser tumpahan minyak, penghadang kalis peluru dan banyak lagi,

Disebabkan Aston Martin sememangnya kenderaan asal pilihan Fleming, tiada kereta Bond lain yang boleh menumpaskannya termasuk Sunbeam Alpine Series II ("Dr. No"), Lotus Esprit ("The Spy who Loved Me"), Ford Mustang ("Diamonds are Forever"), Toyota 2000 GT ("You Only Live Twice") dan, Citroen 2CV ("For your eyes only").

DIALOG TERBAIK JAMES BOND: Antara Goldfinger dan Bond

James Bond: "Do you expect me to talk, Goldfinger?"
("Awak mahu saya akan dedahkan rahsia tu, Goldfinger?")
Auric Goldfinger: "No, Mr. Bond....I expect you to die."
("Tidak, Mr. Bond.... saya mahu awak mati.")

Sekali lagi, "Goldfinger" menumpaskan semua saingannya. Babak James Bond yang ditawan oleh Goldfinger menghasilkan dialog paling ikonik dalam francais tersebut sekalipun ia tidak ditulis oleh Ian Fleming dalam novelnya tetapi dicipta oleh penulis skripnya, Richard Maibaum dan Paul Dehn.

0 comments:

Post a Comment