Thursday, October 11, 2012


Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini memerintahkan Muhdalena Ahmad yang didakwa melakukan jenayah ugutan dan memiliki sebilah pedang di perkarangan Jabatan Perdana Menteri, ditahan dan dihantar ke hospital sakit mental.
    
Hakim Mohamed Kamil Nizam memutuskan demikian selepas peguam M. Visvanathan yang mewakili Muhdalena memohon mendapatkan pemeriksaan lanjutan berdasarkan saranan doktor yang merawat Muhdalena selepas kejadian.
    
Muhdalena diperintah menjalani pemeriksaan dalam tempoh sebulan dan disebabkan itu Mohamed Kamil menangguh perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini dan esok.
    
Beliau menetapkan 23 November untuk sebutan kes itu. 
    
Terdahulu, Visvanathan memberitahu mahkamah bahawa doktor di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Putrajaya, Dr Umi Adzlin Silim membuat saranan supaya tertuduh dirujuk kepada pakar forensik psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi menjalani penilaian dan rawatan. 

"Tertuduh dimasukkan ke wad Hospital Putrajaya pada hari kejadian (16 Julai lalu). Mengikut penilaian doktor, tertuduh mengalami kemurungan dan gejala psikotik iaitu delusi dan halusinasi. 
    
"Tertuduh sedang diberikan ubat anti kemurungan dan anti psikotik setiap hari sehingga ke hari ini," katanya. 
    
Mengikut laporan perubatan yang dikemukakan ke mahkamah, sehingga kali terakhir berjumpa doktor pada 9 Oktober lalu, Muhdalena masih mengalami mimpi buruk dan kejadian pelik dengan merasakan dirinya menjadi pahlawan dari zaman silam yang sedia bertempur bila-bila masa. 
    
Muhdalena, 28, dari Kota Damansara, Selangor, dituduh pada 16 Julai lepas di katil rawatannya di Hospital Putrajaya selepas cedera terkena tembakan pada paha kanannya.
    
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan anggota polis bantuan, Lans Kopral Ridzuan Megat Ahmad di perkarangan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri di sini, kira-kira 2.30 petang 9 Julai lalu. 

Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Dia juga dituduh memiliki sebilah pedang pada masa dan tempat yang sama mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 
    
Selain itu, Muhdalena didakwa atas dua pertuduhan baru hari ini iaitu tidak mematuhi perintah seorang pegawai polis dan menteri. Tertuduh tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
    
Bagi pertuduhan pertama dia didakwa tidak mematuhi perintah yang diberikan oleh Lans Kopral Ridzuan untuk meletakkan senjata di kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-kawasan Larangan 2000.
    
Manakala bagi tuduhan kedua Muhdalena didakwa tidak mematuhi perintah yang diberikan Menteri dengan berada di tempat kejadian tanpa memiliki paskad atau permit yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa dan tidak mendapat kebenaran pegawai bertugas.
    
Bagi kedua-dua pertuduhan dia didakwa mengikut Seksyen 4(2) dan Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959(Akta 298) yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
    
Hakim Mohamed Kamil membenarkan kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama pertuduhan lain dan menetapkan jaminan tambahan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
    
Sebelum ini Muhdalena diikat jamin RM10,000. Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar.
    
Bernama

0 comments:

Post a Comment