Saturday, November 17, 2012

Teka teki: “Kenapa siput babi jalan perlahan?”



Bismillahi walhamdulillah.

Teka teki:
“Kenapa siput babi jalan perlahan?”

Pernah dengar teka teki ni? Kalau namanya teka-teki, janganlah guna jawapan saintifik. Mudah sahaja, siput babi jalan perlahan kerana dia asyik  memikirkan – Aku ni siput atau babi?

Kalaulah dia tahu yang dia tu dari spesis siput, pasti dia akan sedar diri dan berjalan cepat, tanpa disibukkan dengan kecelaruan identiti yang direka-reka. Sibuk memikir benda yang bukan-bukan, benda yang tidak sepatutnya difikir- itulah punca dia lambat sampai.

Dia perlu redha dengan kejadiannya sebagai siput, walaupun kecil dan lambat pergerakannya. Atas keterbatasan itu, dia perlu memanfaatkannya secara optimum. Hidup sebagai siput babi perlu diteruskan…!

Apa kena mengena dengan kita?
Sebagai manusia kita kena tahu siapa diri kita sebenarnya. Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang dijadikan untuk beribadah kepadanya. Memanfaatkan segala yang dijadikan di atas muka bumi untuk menyempurnakan kewajipan sebagai khalifah Allah. Sebagai hamba yang perlu meletakkan segala ketundukan, hanya kepadanya. Hidup kita di dunia hanyalah sementara, mencari bekalan untuk hidup di akhirat yang kekal abadi.

Bagaimana pula sebagai pekerja?
Jika di tempat kerja, perlu sedar apakah kedudukan kita. Jika pentadbir, buatlah kerja sebagai pentadbir. Merancang untuk kemajuan organisasi, menjaga kebajikan anak buah dan menjadi teladan yang baik untuk mereka. Jika ‘orang bawahan’, buatlah cara ‘orang bawahan’. Laksanakan arahan tanpa mengenepikan perbincangan dan kreativiti, pro aktif tanpa disuruh dan perlu hormat bos.

Insya Allah, jika kita kenal  siapa diri kita, banyak urusan akan berjalan lancar. Bukannya perlahan macam siput babi!

Wallahu a’lam.

sumber

1 comment: