Beberapa minggu yang lalu, Sinar Harian melalui akhbarnya dalam ruang fokus menerbitkan berita bertajuk "Rahsia pengemis terbongkar selepas meninggal".
Penerbitan berita tersebut menarik perhatian masyarakat kerana rahsia seorang OKU penglihatan yang didakwa mempunyai wang tunai sebanyak RM15,000 selain simpanan dalam tiga akaun bank berasingan yang berjumlah RM60,000, selepas kematiannya, dibongkar
Si mati dalam berita tersebut didakwa mampu menyimpan sejumlah besar wang tersebut melalui suatu kegiatan yang dilabel sebagai mengemis.
Selaku ahli majlis presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) yang mewakili lebih dari 6,000 ahli yang berdaftar yang merupakan OKU penglihatan, saya menyangkal sepenuhnya berita yang disiarkan dan ia hanya bersifat sensasi.
Penyiaran berita tersebut sesungguhnya mendatangkan pelbagai tanggapan negatif kepada OKU penglihatan khususnya dan OKU umumnya.
Penyelesaian kepada kegiatan yang didakwa "mengemis" perlulah diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan memandangkan hingga kini masih banyak perlu diperbaiki bagi mewujudkan program berkesan bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi OKU.
Saya juga menyeru untuk seluruh masyarakat, media-media massa, dan kerajaan untuk memberi perhatian khusus kepada isu-isu OKU sebagaimana diperjuangkan melalui kempen OKU Bangkit yang bertemakan Gerakan Bersama Kebangkitan OKU Tahun 2012.
Sebagai penggerak utama kempen ini, saya menegaskan bahawa isu pekerjaan dan pemerkasaan ekonomi OKU antara 11 perkara yang menjadi perhatian kempen kami.
Sebagai langkah seterusnya bagi kami menjawab penyiaran sebagaimana di atas, yang mencalarkan imej OKU, suatu forum bertajuk "Wacana OKU, Pengemis dan Zakat" akan diadakan pada 31 Oktober ini di Dewan Rukun Tetangga, Jalan Padang Belia, Brickfields pada jam 9:00 malam.
Antara panel forum termasuklah Dr Maszlee Malik, pensyarah UIAM dan saya sendiri selaku penggerak OKU Bangkit.
Dengan apa yang disiarkan ini, tibalah masanya untuk sebuah portfolio pembangunan OKU diwujudkan di peringkat kabinet agar perencanaan dan perlaksanaan program pembangunan OKU bersifat menyeluruh dan komprehensif mampu dihasilkan.
0 comments:
Post a Comment