Thursday, November 22, 2012

Berdoalah


Sesungguhnya kita ini merupakan ciptaan tuhan yang tidak pernah lari dari kesilapan dan sentiasa ada kemahuan yang hanya Allah sahaja boleh kita pohonkan bantuan. Melalui surah al-Fatihah yang kita baca setiap rakaat solat menjelaskan bahawa hanya Allah yang kita harapkan pertolongan, walaupun kita mahukan bantuan dari seseorang, tetapi kita perlukan Allah untuk bukakan hati rakan kita itu untuk permudahkan bagi menolong kita.

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan” 
Surah al-Fatihah 1:5

Dalam surah al-Baqarah ayat ke 186 menjelaskan bahawa Allah akan perkenankan apa yang hambaNya minta dalam doa selagi apa yang diminta itu adalah atas tujuan yang baik, oleh kerana itu kita ini sebagai hamba haruslah melakukan apa yang telah dihukumkan wajib dan meninggalkan apa yang dihukumkan haram sesungguhnya Allah itu maha pemurah.

……..Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
Surah al-Baqarah 2:186

Adakah kita cukup sekadar melakukan solat seharian 5 waktu sahaja ? Semestinya tidak kerana kita perlu juga berdoa. Kita ini serba kekurangan dan perlukan bantuan setiap masa, maka janganlah kita bersifat sombong dengan tidak memerlukan pertolongan dari sesiapa. Telah dengan jelas diterangkan dalam surah Ghaafir ayat ke 60.

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
Surah Ghaafir 40:60

Maka kita berdoalah sentiasa meminta pertolongan daripada Allah S.W.T. dan yakinlah bahawa doa kita ini akan dimakbulkan permintaan kita ini selagi ianya untuk perkara yang baik – baik sahaja, dan setiap kali kita berdoa, kita akan tamatkan dengan “amin” yang memberi maksud “terimalah doa ini”

Berikut merupakan beberapa adab berdoa yang lebih elok untuk kita amalkan:

1. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.”

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya.

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doanya, iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.”

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Aku dilarang membaca Al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat di antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.”

6. Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.”

7. Hadith dari Abu Hurairah, “Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda, pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”

Maka dengan ilmu yang kita perolehi pada artikel kali ini dapat kita amalkan, insya Allah.

ilmu, iman dan amal

0 comments:

Post a Comment