Monday, December 10, 2012

Takbur vs Tawadhu


Perjalanan hidup kita sebagai manusia di atas bumi ini sudah ditentukan oleh Allah. Bagaimana rezekinya, ajalnya dan sebagainya adalah ketetapan daripada Allah. begitu juga dengan segala yang kita miliki merupakan nikmat dan kurniaan dari Allah. Sama ada Allah memberinya dalam bentuk nikmat ataupun istidraj, ia tetap milik Allah Subhanahuwata'ala. Maka sebagai hambaNya yang kerdil lagi hina, sifat merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri kita agar dapat mengelakkan kita drpd merasa riak dan takbur.

Rasulullah adalah contoh terbaik yang mempunyai sifat rendah diri. Sepertimana yg kita tahu, baginda merupakan insan yang paling agung dan mulia, tetapi sifat merendah diri tidak pernah hilang dan luntur dari dirinya. Sabda baginda :

“Aku hanyalah seorang hamba. Apabila suatu hari nanti aku dimerdekakan (maksudnya bebas di akhirat) barulah aku akan memakai pakaian baru.”

Begitulah rendah dirinya seorang insan mulia seperti Rasulullah. Tetapi, ada di antara kita apabila diberikan sedikit kekayaan, kita sudah mula mempamerkan sifat riak, takbur dan sombong. Walaupun sifat takbur ini secara fizikalnya tidak menyakitkan atau memberi kesan kepada orang lain, tetapi secara zahirnya kata-kata yang terluah daripada mulut mereka ini mampu menyinggung perasaan saudaranya yang lain.

ALLAH membenci manusia yang mempunyai sifat sombong ini. Di dunia ini akan di sisih ALLAH, apatah lagi di akhirat kelak bersesuaian dengan firmanNYA yang bermaksud :

"Nanti Aku palingkan daripada ayat-ayatKu orang-orang yang sombong di muka bumi tanpa kebenaran." (Al-A'raf: 146)

"Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan dirinya dari menyembahKu, mereka itu akan masuk neraka Jahannam dengan menderita kehinaan." (Surah Al-Mu'min: 60)

Dan ini diperkukuhkan lagi dengan dua buah hadis yang berbunyi :

(1) "Tidak akan masuk ke dalam syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari sifat kesombongan."
(2)"Tidak akan masuk syurga seseorang yang bakhil dan berbuat sewenang-wenang (kerana kesombongannya)."

Elakkanlah diri kita daripada mempunyai perasaan takbur ini kerana dengan mempunyai perasaan takbur dan riak dalam diri, bimbang jika ALLAH menutup pintu hati kita daripada menerima hidayahNYA sepertimana firmanNYA yang berbunyi :

"Demikianlah Allah menutup tiap-tiap hati orang yang sombong lagi ganas (memaksa rakyat)." (Surah Al-Mukmin : 35)

Sedangkan Rasulullah yang mulia itu pun memilih untuk bersifat rendah diri dan tawadhu', mengapa kita manusia biasa ini mampu untuk bersikap sombong dan takbur? Tidakkah kita malu pada ALLAH dan RasulNYA? Ingatlah, kita hanya manusia yang kerdil. Segala yang kita miliki sekarang, semuanya pinjaman daripada ALLAH jua. DIAlah yang layak memiliki sifat sombong kerana DIAlah pemilik segala yang ada di langit dan di bumi bahkan seluruh cakerawala ini.

"Allah Ta'ala berfirman (di dalam Hadis Qudsi): Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi."

Dan kita sebagai manusia, harus menanamkan diri kita dengan sifat rendah diri dan tawadhu' kerana dengan sifat inilah mampu mengangkat darjat manusia di sisi ALLAH Subhanahu wa ta'ala.

"Barang siapa bertawaddhu' kerana Allah, maka akan diangkat darjatnya oleh Allah, barang siapa yang sombong, maka akan dijatuhkan darjatnya oleh Allah, barang siapa bersikap bersederhana (tidak boros dan tidak pula kikir), maka akan dijadikan kaya oleh Allah, barang siapa membazir, maka akan dijadikan miskin oleh Allah dan barang siapa memperbanyak ingatan kepada Allah, maka dicintai oleh Allah."(Hadis Nabi Salallahu'AlaihiWasallam)

Wallahu'alam.

0 comments:

Post a Comment