Timbalan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad berkata setakat ini hanya dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor yang membuat permohonan untuk mendapatkan penjelasan.
"Kami bersedia memberikan penjelasan lanjut berhubung AES ini supaya orang ramai lebih faham terutamanya dari segi teknikal.
"Mungkin penjelasan sebelum ini orang ramai tidak cukup faham namun saya yakin jika diberi penjelasan, orang ramai dapat menerima pelaksanaan ini dan berharap mendapat kerjasama dari semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Bulan Inovasi peringkat negeri, di Kuala Terengganu hari ini.
Semalam akhbar melaporkan bahawa empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah akan menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian mendalam dijalankan dan maklum balas daripada rakyat diperoleh.
Ismail berkata AES dilaksana bagi mengesan pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya sekaligus diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Sistem itu akan dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan maut, katanya.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti lokasi bagi menempatkan 831 kamera AES di kawasan strategik di seluruh negara untuk mengesan pesalah jalan raya sama ada di kawasan lampu isyarat atau melebihi had laju.
Setakat ini sebanyak 14 kamera AES telah dipasang iaitu tujuh di Perak, masing-masing dua di Selangor dan Putrajaya dan tiga lagi di Kuala Lumpur.
-Bernama
0 comments:
Post a Comment